Select Page

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Syarikat pembangun perisian perakaunan milik Bumiputera, Century Software Holdings Bhd. (Century Software) merancang untuk mengapungkan saham syarikatnya di Papan Utama Bursa Malaysia, penghujung bulan ini.

Century Software mengunjurkan perolehan dana sebanyak RM21.4 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) dengan menerbitkan 23 juta saham baharu bernilai 93 sen sesaham.

Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Samsul Husin berkata, daripada hasil dana itu, RM6 juta akan diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sedia ada dan baharu.

“Manakala, RM25.4 juta diperuntukkan untuk pengembangan operasi, modal kerja, pembayaran pinjaman bank dan kos penyenaraian.

“Selepas penyenaraian itu, Century Sofware akan bebas sepenuhnya daripada sebarang hutang pinjaman dan ini boleh memberi ruang kepada kami untuk memberi penumpuan kepada pengembangan operasi pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Samsul berkata, pada tahun lalu Century Software telah membangunkan sistem perisian perakaunan yang boleh dimuat turun ke dalam semua telefon mudah alih pintar dan gadjet iPad.

Katanya, perisian itu dinaik taraf daripada lapan perisian perakaunan yang dibangunkan oleh Century Software iaitu perisian untuk kerajaan, komersial, pengurusan prestasi perniagaan, pengedaran, analitikal, majlis kerajaan tempatan, tender dan peruncitan.

“Sebelum ini, kesemua perisian hanya disokong melalui penggunaan komputer, tetapi kini menerusi kepakaran tempatan, Century Software mampu meningkatkan keupayaannya agar selari dengan perkembangan teknologi.

“Kini segala urusan perakaunan sesebuah organisasi boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dimana sahaja tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Kata beliau, pelanggan juga tidak perlu risau mengenai tahap keselamatan sistem itu kerana telah diuji secara teknikal oleh Microsoft dan jururunding bebas KPMG.

Samsul menambah, ketika ini ramai individu dan pengendali syarikat yang masih menggunakan sistem perakaunan secara manual kerana kurang yakin dengan transaksi secara automatik.

Katanya, persepsi ini perlu diubah kerana sistem automatik mampu memberi penjimatan dari aspek kos operasi dan dapat mengurangkan kesilapan serta sistem keselamatan yang lebih terjamin.

“Tahun ini Century Software akan berusaha mempromosikan sistem perakaunan secara automatik kepada agensi kerajaan, swasta, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata beliau.

Century Software kini membekal sistem penyelesaian perisian perakaunan kepada lebih 80 buah syarikat terdiri daripada agensi kerajaan dan sektor komersial.

Syarikat berkenaan juga merupakan peneraju pembekal sistem patuh Standard Architecture for e-Government Application (SAGA) dengan menguasai 55 peratus daripada pasaran sistem berkenaan di negara ini.