Select Page

 

KUALA TERENGGANU 16 Julai – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yang muncul sebagai penerima Anugerah Agensi Terbaik Sistem Perakaunan Standard untuk Agensi-Agensi Kerajaan (Saga) Fasa II menyifatkan kerjasama dan semangat kakitangan membawa ke tahap pencapaian itu.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Alias Daud berkata, kesungguhan yang ditunjukkan oleh kakitangan terutama Jabatan Bendahari membolehkan pelaksanaan sistem berkenaan di universiti tersebut berjalan dengan lancar dan efisien.

Katanya, pada peringkat awal pengenalan sistem itu, ada antara mereka merungut berhubung ketidakstabilan sistem ini, kehilangan data-data kewangan dan maklumat yang dijana seperti laporan atau baucer tidak sama dengan apa yang diprogram.

”Namun, kami dapat mengatasi masalah yang dihadapi hasil kerjasama dengan pihak berkaitan. Malah, kami berjaya menyediakan Laporan Penyata Kewangan 2009 untuk dihantar kepada Jabatan Audit Negara pada 4 Mac 2010.

”UniSZA adalah antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terawal mendapat Sijil Bersih daripada jabatan itu pada 10 Mei 2010,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek dan Anugerah Agensi Terbaik Saga di UniSZA di sini semalam.

Turut hadir Akauntan Negara, Datuk Mohd. Salleh Mahmud, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza Datuk Zolkipli Abdul dan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Wan Selamah Wan Sulaiman.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menerima Anugerah Agensi Terbaik Fasa III.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh berkata, pelaksanaan Saga berjaya membantu kerajaan mempercepatkan pemprosesan pembayaran berkomputer untuk projek badan-badan berkanun persekutuan kepada para pembekal dan kontraktor dalam tempoh sehingga tiga hari.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai selepas badan-badan berkanun itu menyediakan penyata kewangan masing-masing sebelum tarikh tutup penyerahan kepada Ketua Audit Negara apabila sistem itu diperkenalkan sejak Jun 2005.

”Sebanyak 98 peratus pembayaran berkomputer berjaya dilakukan dalam tempoh kira-kira tiga hari dengan pelaksanaan sistem tersebut,” katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd